
Persaingan rebut jawatan Naib Presiden PKR tanda keterbukaan parti – Ramanan
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, memberi kepercayaan penuh kepada akar umbi untuk membuat keputusan yang tepat dan bijak menjelang pemilihan PKR pada Mei ini.
Ramanan yang merupakan salah seorang daripada tujuh calon yang bakal merebut empat tempat Naib Presiden PKR, menyifatkan persaingan dalam merebut jawatan itu mencerminkan keterbukaan parti dalam memberi peluang kepada ahli untuk memilih pemimpin.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan PKR itu, beliau yakin ahli parti dapat membuat keputusan yang bijak bagi memilih pemimpin yang mampu membawa suara mereka ke depan.
“PKR adalah parti inklusif pelbagai kaum dan membawa suara demokrasi sebab sesiapapun boleh bertanding, asalkan kita mempunyai hala tuju yang betul, selain mengukuhkan parti dan kepimpinan.
“Saingan memang kuat dan hebat kerana semua penyandang jawatan adalah orang lama parti.
“Namun kita serahkan kepada akar umbi untuk mengambil keputusan yang betul dan membuat pilihan yang bijak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Institut Koperasi Malaysia (IKMA) bersama media, di sini hari ini.
Terdahulu, Ramanan dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan akan bertanding bagi merebut empat tempat jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan PKR akan datang.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, beliau sudah memaklumkan berhbung hasratnya itu kepada Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan penyertaan Ramanan, saingan bagi merebut empat tempat jawatan Naib Presiden PKR jelas semakin sengit, apabila sekurang-kurangnya enam pemimpin PKR sudah mengesahkan diri untuk bertanding.
Calon-calon itu termasuklah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Selain itu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut mengumumkan akan merebut jawatan itu.
Walau bagaimanapun, seorang lagi penyandang yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun belum mengesahkan pencalonannya setakat ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |