Berita SemasaPolitik

Perjelas maksud pantun atau laporan polis akan dibuat – Syed Hussien kepada Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, menegaskan satu laporan polis akan dibuat sekiranya Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari gagal memberi penjelasan mengenai maksud pantun yang dimuat naik di laman Facebook beliau, semalam.

Pantun yang dimaksudkan berbunyi: “Disangka ayam jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.”

Menurut Syed Hussien yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, setelah meneliti hantaran tersebut, beberapa persoalan timbul, antaranya adakah ‘biawak’ yang disebutkan itu merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)?

“Jika benar, ini merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja, kerana menyamakan atau memperumpamakan haiwan dengan Tuanku Agong atau PDRM dilihat sebagai keterlaluan, meskipun mungkin bertujuan untuk meraih politik murahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa sebarang cadangan untuk memberi keampunan atau pengurangan hukuman kepada banduan harus dikemukakan oleh banduan itu sendiri untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat yang akan datang.

Susulan itu, UMNO turut memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat menyertai Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini, sebagai tanda hormat terhadap kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Syed Hussien menambah, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara, khususnya perkara kedua yang menekankan ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ dan perkara keempat yang menegaskan ‘Kedaulatan Undang-Undang’.

“Jangan samakan parti UMNO dengan parti lain yang terlalu dahagakan simpati politik hingga sanggup menghasut rakyat agar tidak menghormati institusi beraja dan negara ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button