
Pemuda UMNO Selangor tegas pertahan perjuangan Melayu
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Selangor menzahirkan penghargaan kepada 1,136 cawangan Pemuda di seluruh negeri yang berjaya mengadakan mesyuarat persidangan masing-masing antara 7 April hingga 25 Mei lalu, melibatkan penyertaan lebih 17,000 ahli di 22 Bahagian UMNO Selangor.
Ketua Pemudanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, kejayaan itu membuktikan kekuatan akar umbi Pemuda UMNO masih kukuh dan menjadi tonggak kepada kesinambungan perjuangan parti dalam suasana politik negara yang semakin mencabar.
“Institusi Pemuda UMNO terus utuh. Ia menjadi pemacu nilai tambah kepada peranan UMNO Selangor dalam Kerajaan Perpaduan yang sedang memimpin negara hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum atau Negeri Ke-16 akan datang, Imran menegaskan Pemuda harus diperkasa sebagai pemegang taruh strategik, terutamanya dalam memperjuangkan nasib generasi muda Melayu dan Bumiputera.
Dalam masa sama, Pemuda UMNO Selangor turut menyuarakan kebimbangan terhadap draf Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang sedang digubal.
Sayap parti itu menuntut menjamin agar pegangan Melayu dan Bumiputera terus dilindungi dalam pembangunan bandar.
Bagi menangani isu tersebut, sebuah Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan pindaan akta berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Pemuda UMNO Selangor menyifatkan tindakan Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan jawatan dan menyertai PKR sebagai langkah tidak bertanggungjawab, serta boleh menggugat kestabilan komposisi kabinet.
“Komposisi kabinet daripada UMNO wajar dikekalkan demi kestabilan dan integriti Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.
Sebagai usaha memperkukuh suara anak muda, Pemuda UMNO Selangor turut mengumumkan pengaktifan semula Skuad Tempur Pemuda Selangor (STEP) sebagai entiti hadapan memperjuangkan isu-isu Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu.
Imran turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin dan ahli Pemuda UMNO Selangor bagi sesi 2023–2026 atas sokongan berterusan dan menyeru agar Mesyuarat Persidangan Pemuda Bahagian yang akan bermula 9 Jun hingga 27 Julai 2025 dijadikan medan untuk memperkukuh perjuangan parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








