BERITA SEMASAPOLITIK

Pemuda DAP dakwa Dr Akmal cetus ketegangan kaum

KUALA LUMPUR – Pemuda DAP menggesa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegur Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berhubung kenyataan serta tindakannya yang didakwa berulang kali mencetuskan ketegangan kaum.

Datuk Seri, Mohamad Hasan

Majlis Eksekutif Pemuda DAP berkata, nasihat Mohamad agar sayap itu lebih rasional sepatutnya ditujukan terlebih dahulu kepada Dr Akmal sendiri.

“Selama ini, pihak yang sering tidak rasional hanyalah Dr Akmal. Jika Tok Mat benar-benar mahu menasihatkan, mulakan dengan Ketua Pemuda UMNO itu terlebih dahulu.

“Tegurlah agar beliau bertenang dan tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda DAP turut menyatakan, walaupun kerjasama antara DAP dan UMNO dalam kerajaan perpaduan berjalan baik, tindakan Dr Akmal dilihat menimbulkan masalah serta menjejaskan imej partinya sendiri.

Menurut kenyataan itu, beberapa insiden melibatkan Dr Akmal termasuk kenyataan menghina pengkritik sebagai orang kurang upaya (OKU), menggelar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai ‘nyonya tua’ serta menghasut dalam isu berkaitan KK Mart.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pemimpin muda parti pemerintah kerana ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya lagi.

Pemuda DAP juga menolak tindakan Mohamad yang mempertahankan perhimpunan anjuran Akmal di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini dengan menyifatkan insiden itu sebagai “misi aman”.

Menurut mereka, kes bendera terbalik telah disiasat pihak polis dan sebarang keputusan lanjut berkaitannya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa, bukannya dijadikan isu politik.

“Urusan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkuasa dan tidak wajar dijadikan alat politik untuk kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohamad dilaporkan menasihati DAP agar mengawal tindak-tanduk sayap pemudanya supaya lebih rasional, susulan desakan beberapa negeri untuk menamatkan kerjasama politik dengan Dr Akmal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button