POLITIK

Pemilihan PKR: Saifuddin Nasution belum putuskan bertanding jawatan Timbalan Presiden

PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan pusat parti yang akan datang.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, walaupun wujud spekulasi mengenai kemungkinan pertandingan menentang Datuk Rafizi Ramli, beberapa proses perlu dititikberatkan sebelum beliau membuat sebarang keputusan.

“Sebagai parti reformasi, demokrasi mesti subur, sebab itulah pemilihan adalah satu pesta demokrasi. Dalam pilihan raya, ada yang terpilih dan ada yang tidak.

“Saya juga mengikuti beberapa pandangan yang sebut bahawa sudah sampai masanya saya buat pengumuman, namun saya masih belum membuat apa-apa ketetapan ke arah itu.

“Kalau saya (tetapkan) saya panggil sidang media… jangan letakkan perkataan itu di mulut saya (soal mempertimbangkan bertanding)… masih ada dua tiga proses lagi,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Dalam pemilihan PKR bagi penggal 2022-2025, Saifuddin tewas kepada Rafizi dalam perebutan jawatan nombor dua parti itu.

Saifuddin mengakui telah bertemu Rafizi semalam dalam satu perbincangan tertutup bagi membincangkan hala tuju dalam memperkukuh parti menjelang pemilihan pusat.

Katanya, perbincangan yang berlangsung di pejabat Menteri Ekonomi itu turut menyentuh komitmen bersama mereka untuk bekerjasama demi kepentingan parti.

“Semalam saya ke pejabat Rafizi, kami adakan pertemuan tertutup. Kami berbincang bagaimana untuk mengukuhkan lagi peranan masing-masing dalam parti.

“Kami juga bincang banyak perkara semasa dalam parti, dan perkara paling penting yang dapat disimpulkan daripada perbualan itu adalah komitmen berterusan kami untuk terus memperkukuh parti.

“Kami anggap proses pemilihan ini sebagai satu proses demokrasi yang dibenarkan oleh perlembagaan parti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button