Berita SemasaPolitik

Pemilihan PKR: Ramanan umum bertanding jawatan Naib Presiden

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mengumumkan dirinya sebagai calon terbaru bagi merebut empat tempat jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan Mei ini.

Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, beliau sudah memaklumkan berhbung hasratnya itu kepada Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin mengumumkan hasrat untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini. Saya juga sudah memaklumkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Ramanan berkata, keputusan untuk bertanding dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan pimpinan, sahabat seperjuangan serta anggota Keadilan di seluruh negara.

Dengan penyertaan Ramanan, saingan bagi merebut empat tempat jawatan Naib Presiden PKR jelas semakin sengit, apabila sekurang-kurangnya enam pemimpin PKR sudah mengesahkan diri untuk bertanding.

Calon-calon itu termasuklah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut mengumumkan akan merebut jawatan itu.

Walau bagaimanapun, seorang lagi penyandang yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun belum mengesahkan pencalonannya setakat ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button