BERITA SEMASAPOLITIK

Pembangkang sepatutnya guna saluran perundingan jika tak setuju dengan terma MoU – TPM Fadillah

Bukan suarakan melalui media

KUALA LUMPUR – Pihak pembangkang seharusnya menggunakan saluran yang betul iaitu menerusi perundingan sekiranya tidak bersetuju dengan mana-mana terma dalam draf memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, dan bukan menyuarakannya melalui media.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehingga kini kerajaan juga masih belum menerima maklum balas daripada pembangkang berkaitan draf MoU itu.

“Terma itu belum dipersetujui, yang kita nak bincang pasal amaun, dan sepatutnya tak bolehlah pergi ke media, responslah kepada (kerajaan) draf itu dan nanti kita bincanglah sehingga bila kita setuju dan kita muktamadkan baru kita paparkan kepada media,” katanya.

Fadillah yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata demikian selepas menghadiri majlis Malaysian Law Students Legal Aid Convention 2024, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan sebagai berkata, kerajaan menetapkan tujuh syarat kepada pembangkang, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15, bagi membolehkan mereka menerima peruntukan.

Takiyuddin turut mendakwa tiada amaun peruntukan yang diletakkan dalam draf MoU tersebut.

Fadillah berkata, syarat ditetapkan mengenai sokongan kepada kerajaan itu bertujuan memastikan kestabilan politik dalam negara dapat dicapai, sekali gus menghantar mesej kepada dunia dalam menarik lebih ramai pelabur.

“…yang kita nyatakan ialah kita nak supaya tak ada lagi kita nak bercakap pasal nak jatuhkan kerajaan dan sebagainya. Sebab apa lebih utama untuk negara kita sekarang ialah kestabilan.

“Jadi janganlah kita bercakap tentang nak menjatuhkan kerajaan apa semua, berhentikan… sebab kerajaan sekarang ini dah dapat sokongan dah ada dua pertiga sokongan dan dibuktikan di Parlimen,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button