Pembangkang diingatkan ikhlas bila mohon peruntukan, bukan bermuka-muka
GUA MUSANG – Pemimpin pembangkang diingatkan supaya tidak hanya bermuka manis semasa meminta peruntukan tetapi kemudiannya menghentam Perdana Menteri dan kerajaan selepas menerima peruntukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan sedemikian seolah-olah tidak berterima kasih dengan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinanan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jangan masa minta muka senyum, muka sepuluh sen. Bila dapat hentam Perdana Menteri balik. Jangan begitu, mesti bersyukur dan berterima kasih.
“Nak berbeza pendapat boleh, tapi bila tiba pilihan raya mereka hentam Perdana Menteri, saya lumatlah. Saya tidak mahu sebut mana-mana individu atau tokoh politik di Kelantan, tapi itulah yang berlaku,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini hari ini.
Tambahnya, situasi sama turut berlaku di Terengganu, Kedah dan Perlis.
Beliau kemudiannya berkata, sikap sedemikian perlu diubah kerana ia sesuatu yang tidak baik.
“Benar ada peruntukan yang harus disalurkan, tapi yang diberikan oleh Perdana Menteri adalah atas semangat Kerajaan MADANI. Salah satu sikap kerajaan MADANI adalah ihsan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






