Pembangkang cadang Tugu Negara diubah dengan wajah pejuang tempatan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan (Perikatan Nasional), mencadangkan agar kerajaan mengubahsuai wajah tentera pada Tugu Negara supaya monumen bersejarah itu lebih mencerminkan wajah dan fizikal askar tempatan yang berjuang menentang penjajah.
Beliau berpandangan, rekaan patung gangsa yang terdapat pada monumen yang dirasmikan pada tahun 1966 itu menampilkan ciri-ciri fizikal masyarakat Eropah dan tidak menggambarkan identiti sebenar wira negara.
“Kalau kita lihat, patung yang memegang bendera itu memang simbol kemerdekaan negara kita. Tapi muka dan hidungnya mancung seperti orang Eropah. Kenapa tidak diubah supaya kelihatan lebih mirip orang Asia atau orang Malaysia?” katanya.
Menurut beliau, penyesuaian semula reka bentuk Tugu Negara boleh memberi nilai tambah kepada semangat kenegaraan serta menjadikan monumen itu lebih dekat di hati rakyat.

“Saya cadangkan pada masa akan datang, jika mahu ubah suai, biarlah patung-patung itu menggambarkan wajah dan tubuh orang Asia, agar ia lebih mengangkat keperwiraan sebenar pejuang tempatan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat jawatankuasa di Parlimen, semalam.
Dalam sesi perbahasan itu, Kalam turut meminta penjelasan kerajaan berhubung peruntukan RM600 juta yang diumumkan untuk kerja pemulihan beberapa bangunan bersejarah termasuk Carcosa Seri Negara dan Kompleks Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Tugu Negara tidak dimasukkan dalam senarai projek pemulihan tersebut.
“Saya faham RM600 juta itu bukan hanya untuk Carcosa dan Seri Negara, tetapi juga melibatkan stesen keretapi dan bangunan Sultan Abdul Samad. Namun, Carcosa dikatakan akan dijadikan kafe dengan kos sebanyak RM200 juta. Saya tertanya-tanya, berapa cawan kopi perlu dijual untuk dapat balik RM200 juta itu?” ujarnya bersahaja, disambut tawa beberapa ahli dewan.
Di bawah rang undang-undang berkenaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu, Khazanah Nasional Berhad akan menanggung keseluruhan kos kerja pemulihan Carcosa Seri Negara serta enam blok bangunan di Kompleks Sultan Abdul Samad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






