
Pas jangka PRU16 diadakan lebih awal, yakin rampas Selangor
SHAH ALAM – Pas memberi bayangan bahawa kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke-16 akan diadakan lebih awal berbanding jangkaan.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Halim Tamuri berkata, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) Selangor konsisten dan bertekad untuk merampas kerajaan negeri dalam PRU akan datang.
“Kami melalui kempen #BaktiDemiSelangor dan ‘Selangor Deserves Better’ akan turun ke lapangan bersama masyarakat dengan lebih agresif selepas daripada ini.
“Pas berpendirian bahawa hasil kekayaan negeri Selangor ini mesti dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di negeri Selangor sama ada yang berada di bandar dan luar bandar.
“Masalah infrastrukur yang daif dan tidak diselenggara dengan baik, projek sakit Rancangan Tebatan Banjir (RTB), kelembapan pentadbiran dalam menyelesaikan masalah rakyat, masalah rakyat miskin bandar dan polisi berkebajikan yang semakin berkurangan antara isu yang akan diangkat oleh Pas dan PN di Negeri Selangor dalam perjuangan kami akan datang,” katanya dalam majlis berbuka puasa di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, Pas juga menawarkan kepimpinan yang inklusif dan berintegriti, amalan tadbir urus yang cekap seperti teknologi kecerdasan pintar (AI), Internet of Things (IoT), dan robotik dalam pentadbiran dan pembangunan negeri serta mengembalikan polisi-polisi yang memberi kebaikan kepada kebajikan rakyat di negeri Selangor.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga memberikan jaminan bahawa, sekiranya Pas/PN mentadbir Selangor selepas PRU-16 ini, para pengamal media dan para pembangaruh yang berkualiti akan diangkat prestijnya, dijamin kebebasan untuk melaporkan sebarang berita yang benar dan dilindungi.
“Hubungan baik antara Pas dan media perlu terus diperkukuhkan. Pas menghormati peranan media sebagai kumpulan semak dan imbang serta rakan strategik dalam usaha kita membangun negeri Selangor ini.
“Dalam dunia yang penuh dengan cabaran informasi palsu dan fitnah digital, kerjasama erat antara media dan Pas/PN amat diperlukan untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang benar dan sahih.
“Oleh itu, saya berharap agar semangat keterbukaan dan kebersamaankhususnya melalui program yang baik seperti ini akan terus dipelihara oleh kita semua,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |