POLITIK

Parti Pas sudah jauh menyimpang daripada pendekatan perpaduan Nasional era Allahyarham Fadzil Noor

CYBERJAYA – Perjuangan Pas kini dilihat lebih mengutamakan politik perkauman dengan menjadikan pemahaman agama yang sempit sebagai alat bagi mengapi-apikan kebencian kaum.

Ini nyata berbeza dengan haluan yang pernah dibawa mantan Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor pada tahun 2001 yang mencadangkan ‘perpaduan Nasional’ sebagai respon kepada cadangan ‘perpaduan Melayu’ oleh mantan Presiden UMNO, Tun Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, pemikiran Allahyarham yang dikenali sebagai tokoh ‘moderate’ Pas ketika itu adalah melihat kepada maslahah negara mengatasi kaum dan tidak menjadikan perkauman sebagai alat politik.

“Perjuangan Islam Fadzil Noor kekal kukuh dan konsisten, dan atas dasar kepentingan negara, beliau membawa satu agenda pentadbiran negara berdasarkan beberapa prinsip Islam termasuk masyarakat madani, berkebajikan, adil dan pentadbiran dinamik yang digagaskan dalam dokumen ‘Memorandum PAS Kepada Rakyat Malaysia-Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21’,” kata Faiz.

Beliau yang juga anak bekas Presiden Pas itu berkata, parti berkenaan kini memilih untuk berjuang atas fitnah dan adu domba dan bukan lagi hujah ilmu dan fakta.

“Terbaharu, ketika kempen di PRK Ayer Kuning, Pas memainkan isu ladang babi bagi menunjukkan ancaman kaum Cina kepada orang Melayu sedangkan fakta menunjukkan tiada pencemaran sisa ladang babi berlaku.

“Begitu juga isu penangguhan haji kerana pilihanraya, yang mana fatwa politik ini bukan berasaskan ilmu Islam sebenar,” kata Faiz lagi.

Jelas Faiz, hujah dan kempen menunggang ‘perpaduan Melayu’ ini akan berkumandang apabila sesuatu parti mula menjadi lemah.

Taktik sama pernah digunakan Tun Mahathir ketika era Reformasi, apabila UMNO mula hilang sokongan orang Melayu dalam PRU ke-10 (1999) dan gabungan Barisan Alternatif (Pas, KeADILan, DAP) mula mendapat sokongan rakyat Malaysia.

“Kini, taktik yang sama digunakan semula Pas bersama BERSATU dalam PN yang hanya berkempen dan berhujah atas permainan politik Melayu.

“Legasi perjuangan Fadzil Noor berasaskan perpaduan Nasional tidak lagi diperjuangkan Pas,” katanya lagi.

Jelas Faiz, kemenangan calon BN mewakili kerajaan Perpaduan pada PRK Ayer Kuning menunjukkan formula gabungan Perpaduan berasaskan perpaduan Nasional gabungan utama PH dan BN (Semenanjung Malaysia) sebagai satu formula politik baharu yang diterima rakyat Malaysia.

Beliau turut berkata, orang Melayu semakin sedar perkauman dijadikan sebagai alat politik apabila parti menjadi lemah, dan elemen perpaduan Nasional sebenarnya mengatasi perpaduan Melayu.

“Hakikatnya, bagi mengangkat martabat Melayu, kekuatan ekonomi negara sangat penting dan pemulihan ekonomi kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula menunjukkan kesan positif.

“Atas keyakinan ini, orang Melayu mula menyokong kerajaan Perpaduan dan PN sudah mula ditolak orang Melayu dan rakyat Malaysia. Ini dibuktikan dalam PRK Dun Ayer Kuning yang mana hampir semua PDM majoriti Melayu dimenangi BN,” kata Faiz lagi.

Faiz kemudiannya berkata, legasi Allahyarham Fadzil Noor yang mengutamakan perpaduan Nasional dan menekankan pendekatan wasatiah (moderate) akan sentiasa diperjuangkan AMANAH.

“Walaupun pelbagai fitnah dilemparkan terhadap Amanah, namun legasi perjuangan tokoh umat ini akan terus kekal menjadi kompas perjuangan Islam yang dibawa Amanah berasaskan prinsip ‘rahmat untuk semua’,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button