”Mulut longkang’ inilah yang dedahkan skandal demi skandal, sehingga PKR akhirnya berjaya’ – Rafizi
JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak kisah digelar sebagai ‘mulut longkang’ kerana baginya, tindakannya itu telah membawa banyak kejayaan kepada PKR.
Beliau berkata demikian bagi membidas segelintir pihak yang mengkritiknya kerana terlalu lantang bersuara mengenai isu dalaman parti selain isu kerajaan.
“Jangan lupa, masa saya jadi pembangkang dengan ‘mulut longkang’ inilah yang dedahkan skandal demi skandal, sehingga PKR akhirnya berjaya kini.
“Gelaran mulut longkang yang dilemparkan terhadap saya bukanlah sesuatu yang baharu, malah gaya penyampaian tegas dan terbuka inilah yang banyak membantu membongkar pelbagai skandal sebelum ini.
“Ketika saya dedahkan kelemahan kerajaan terdahulu, semua sokong, namun apabila saya terus dengan prinsip lantang bersuara demi kebenaran, kita bincang kelemahan sendiri, tiba-tiba ramai kritik tanya kenapa dedah isu dalaman parti,” katanya.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) terakhir, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan tugas utama seorang ahli politik adalah berani melawan ketidakadilan, termasuk menegur kelemahan dalam kalangan pemimpin.
“Dalam parti ini, hati kita memang keras. Kita dibentuk untuk melawan. Tapi rakyat di luar tak fikir soal politik sangat. Mereka cuma kasihan tengok kita bila dikecam atau dipinggirkan,” katanya.
Beliau turut berkongsi mesej yang diterima daripada penyokong yang mengikuti perjuangannya sejak pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC).
“Ada yang hantar gambar saya pakai baju lokap, katanya dia simpati dan kagum dengan keberanian saya sejak dahulu. Saya baca mesej macam itu, kadang-kadang terdiam juga,” katanya.
Rafizi turut menyeru supaya budaya politik yang matang dan terbuka terus dipupuk dalam kalangan pemimpin dan ahli parti demi kelangsungan perjuangan dan keyakinan rakyat terhadap PKR.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






