Mohd Amar nafi dakwaan gugur nama Nik Abduh sebagai calon
KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menafikan beliau bertanggungjawab atas pengguguran Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calon Pilihan Raya Negeri.
Mohd Amar berkata, tuduhan tidak berasas itu dibuat oleh individu yang tidak terlibat dalam mesyuarat pemilihan calon malah tidak mempunyai jawatan dalam parti.
“Ustaz Nik Abduh dah jelaskan beliau tak nak bertanding… tak ada masalah apa-apa, kenapa orang lain sibuk?
“Ada dua kenyataan Nik Abduh harap tak bertanding sebab nak fokus sekolah ayah… Jadi kenapa orang lain buat tuduhan? Tak betul. Itu fitnah bila sebut nama saya.
“Macam mana dia kata saya? Dia tak terlibat dalam mesyuarat, dari mana maklumat dia, dia tak ada jawatan dalam parti…” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.
Nik Amar berkata demikian sebagai mengulas gesaan yang dibuat adik Allahyarham Nik Aziz iaitu Nik Din Nik Mat supaya rakyat tidak mengundi Mohd Amar pada PRN kali ini yang akan berlangsung 12 Ogos akan datang.
Gesaan Nik Din yang dimuat naik dalam satu video itu mendakwa Mohd Amar sebagai dalang di sebalik ketiadaan nama Nik Mohamad Abduh sebagai calon PRN di Dewan Undangan Negeri Cempaka.
Nik Din turut mendakwa, beliau telah menemui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang turut memberi jaminan bahawa anak saudaranya itu akan dicalonkan dalam PRN kali ini.
Mohd Amar yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa turut memaklumkan, nama Nik Mohamad Abduh tidak ada dalam senarai calon pada peringkat awal lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






