MIC tak sertai himpunan di Putrajaya, anjur upacara doa di Batu Caves
KUALA LUMPUR – Parti MIC tidak akan berhimpun di Putrajaya sebagai tanda solidariti terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, esok, sebaliknya akan mengadakan upacara berdoa di Batu Caves.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan dalam satu kenyataan.
“MIC akan mengadakan majlis doa khas di Kuil Murugan pada 11 pagi, 6 Jan (esok).
“Kami mengalu-alukan lebih ramai masyarakat India untuk turut serta bersama-sama mendoakan Najib mendapat keadilan berhubung titah addendum tersebut,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau menambah, MIC menghormati dan menjunjung sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung kuasa prerogatif menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan.
“Pada masa sama kita juga harus menghormati titah addendum (dikatakan) dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan syarat tahanan rumah untuk Najib.
“Saya yakin bahawa hak (Najib) untuk semakan kehakiman yang adil dan saksama mesti dipertahankan,” katanya lagi.
Esok, Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib mendapatkan kebenaran mengemukakan keterangan baharu dalam rayuannya untuk menjalani baki tempoh penjaranya sebagai tahanan rumah.
Permohonan itu dibuat berdasarkan dakwaan kewujudan titah addendum dikatakan dikeluarkan oleh Agong terdahulu seiring keputusan Lembaga Pengampunan meringankan hukumannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






