MB Terengganu sah bergelar jurutera profesional
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kini bergelar jurutera profesional atau IR yang merupakan kelayakan tertinggi dalam bidang kejuruteraan di Malaysia.
Ahmad Samsuri berkata, kejayaan itu mengingatkannya kepada impian yang disuarakan ketika belajar di Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Pusat, Jertih, Besut pada tahun 1977.

“Saya masih ingat ketika minggu pertama persekolahan, guru kelas bertanya kepada kami mengenai cita-cita untuk ditulis dalam buku peribadi setiap murid.
“Saya tanpa teragak-agak menyatakan impian untuk menjadi ‘engineer’,” katanya dalam laporan Astro Awani hari ini.
Beliau berkata, kelayakan sebagai jurutera profesional itu diperolehnya setelah melalui proses yang panjang di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan Peraturan Pendaftaran Jurutera 1990.
“Hari ini saya menerima keputusan permohonan saya sebagai jurutera profesional atau Ir setelah menjalani proses yang sepatutnya di Lembaga Jurutera Malaysia.
“Alhamdulillah, saya kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada hampir 8,000 jurutera profesional di Malaysia,” katanya.
Walaupun memegang jawatan sebagai Menteri Besar, ia tidak menghalangnya untuk mencapai kelayakan tertinggi dalam bidang kejuruteraan itu.
“Saya melihat kejayaan itu sebagai motivasi untuk terus berusaha dan menjadi lebih baik pada masa depan.
“Cabaran akan sentiasa ada dan inilah yang membezakan kita sama ada kita mampu menjadi yang terbaik atau tidak,” katanya lagi.
Beliau juga berharap pencapaiannya itu dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda yang masih berada di alam persekolahan dan universiti untuk terus berusaha mencapai impian masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






