
Lee Chean Chung cabar keputusan pemilihan, persoal integriti proses undi
PETALING JAYA – Calon Ketua Cabang Keadilan Petaling Jaya, Lee Chean Chung memfailkan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) susulan kekalahan beliau dalam pemilihan cabang yang berlangsung pada 12 April lalu.
Chean Chung berkata, beliau menerima banyak panggilan dan mesej daripada ahli yang mempersoalkan ketelusan keputusan serta proses pemilihan tersebut.
“Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih atas keprihatinan dan sokongan anda semua. Sokongan ini amat saya hargai dan tidak akan saya lupakan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun ini, ramai rakan seperjuangan dan sukarelawan telah berganding bahu bersama pasukannya untuk mendaftar ahli baharu, mengemaskini maklumat dan menggerakkan jentera parti.
“Setiap undi yang menyokong saya adalah lambang kepercayaan yang amat besar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Chean Chung turut mengucapkan tahniah kepada Maisarah Ismail dan Nabil Halimi yang masing-masing menang bagi jawatan Ketua Wanita dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Petaling Jaya.
Katanya, kemenangan dua sayap parti itu merupakan hasil kempen bersama yang digerakkan oleh pasukannya.
“Selepas berbincang bersama pasukan, saya telah membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP.
“Kami yakin Keadilan sebagai parti reformasi mempunyai sistem yang adil, dan melalui proses ini, kami berharap segala keraguan dapat diperjelaskan demi memastikan hak semua ahli parti dijaga dengan adil dan saksama,” jelasnya.
Tambah beliau, demokrasi bukan sekadar keputusan, sebaliknya melibatkan proses yang telus dan berintegriti.
“Kita akan terus mara dengan semangat reformasi, demi sebuah perjuangan yang adil, telus dan terbuka untuk semua. Kita menunggu keputusan bantahan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |