BERITA SEMASAPOLITIK

Sasaran 3,000 peserta Larian Keluarga Malaysia 2025 berjaya dicapai

KUALA LUMPUR – Penganjuran Larian Keluarga Malaysia 2025 mencatat penyertaan memberangsangkan apabila sasaran 3,000 peserta berjaya dicapai di sini, hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian itu sekali gus mengukuhkan usaha mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim serta yatim piatu akibat Covid-19 di bawah Yayasan Keluarga Malaysia.

“Tahun ini peserta lebih mudah untuk hadir. Kita sasarkan 3,000 peserta dan nampaknya kehadiran hari ini mungkin melebihi angka itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Larian Keluarga Malaysia 2025, hari ini.

Mengulas mengenai edisi kedua program itu, Ismail Sabri berkata, tahun ini Padang Merbok dipilih sebagai lokasi selepas Cyberjaya menjadi tuan rumah penganjuran sulung tahun lalu.

Beliau turut menjelaskan dana turut diperoleh melalui sumbangan beberapa syarikat penaja selain yuran penyertaan peserta.

Beliau berkata, sokongan padu peserta dan penaja amat penting memandangkan perbelanjaan yayasan tersebut meningkat setiap tahun seiring pertambahan usia penerima bantuan.

“Yayasan Keluarga Malaysia ini membiayai anak-anak yatim ataupun yatim piatu COVID. Kita berikan RM200 untuk 16 tahun ke bawah dan RM250 untuk 16 tahun ke atas. Bila mereka semakin meningkat umur, perbelanjaan itu bertambah. Masuk kolej pun kita tanggung semua,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, jumlah penerima yang bakal menyambung pengajian ke kolej dan universiti turut meningkat, menyebabkan keperluan dana tambahan semakin mendesak.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, beliau belum menetapkan tarikh bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya belum tetapkan date bila nak pergi. Setakat ini bila bersedia akan pergi lah, insya-Allah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button