65 calon rebut tempat dalam CEC di Kongres DAP ke-18
SHAH ALAM – Seramai 65 calon bersaing bagi merebut tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Kongres DAP ke-18 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini hari ini.
Pada awalnya, sebanyak 70 pencalonan diterima, namun lima individu menarik diri, iaitu Phee Syn Tze, Datuk Soon Lip Chee, Kalidas Komarawelo, Kaliyappan Renganathan dan Nicole Tan Lee Koon.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan hadir bagi menunaikan tanggungjawab memilih 30 pemimpin tertinggi parti sebelum jawatan dalam CEC ditentukan dalam kalangan mereka yang terpilih.
Seawal pukul 8 pagi, ribuan ahli dan pemimpin DAP membanjiri IDCC dengan semangat tinggi dalam menentukan hala tuju parti.
Kongres ini menjadi signifikan kerana merupakan yang pertama sejak DAP menyertai kerajaan perpaduan pada Disember 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir sebagai tetamu kehormat bersama pemimpin parti komponen Pakatan Harapan seperti Amanah, PKR dan UPKO.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dijangka menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum Setiausaha Agung, Anthony Loke membentangkan ucapan dasar parti.
Keputusan pemilihan CEC dijangka diumumkan seawal pukul 5.30 petang dengan perhatian tertumpu kepada barisan kepimpinan baharu yang bakal menerajui parti.
Anggota CEC, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, diharap semua perwakilan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik demi masa depan parti.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih kepimpinan terbaik bagi menghadapi cabaran politik akan datang,” katanya memetik laporan NST online.
Untuk rekod, kali terakhir kongres parti itu diadakan adalah pada 2022, yang menyaksikan Anthony Loke dilantik sebagai Setiausaha Agung menggantikan Lim Guan Eng yang memegang jawatan itu sejak 2004.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






