
Khaled sindir PAS tak boleh ‘move on’ selepas berpisah dengan DAP
KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyindir PAS yang menyalahkan UMNO dan DAP apabila mengalami kekalahan dalam pilihan raya, walhal parti itu sendiri pernah menjalin kerjasama erat dengan DAP suatu ketika dahulu.
Beliau berkata, dalam sejarah politik tanah air, PAS pernah merangkul erat DAP menerusi pelbagai kerjasama termasuk dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Chinese Consultative Council (CCC).
“PAS itulah yang mensucikan DAP, malah telah ‘menikahi’ DAP beberapa kali sebelum ini. Ketika itu, semuanya dianggap halal dan diharuskan.
“Tetapi kini, setelah berpisah, PAS seakan tidak dapat ‘move on’ dan menuduh UMNO pula cuba berkawan dengan jandanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khaled yang juga Menteri Pertahanan turut menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai bukti rakyat menolak politik kebencian dan memilih jalan tengah yang lebih progresif serta bertanggungjawab.
“Pengundi Ayer Kuning telah memilih BN untuk mewakili kepentingan politik mereka. Mereka jelas mahukan Malaysia yang pertengahan, politik muafakat yang progresif dan Kerajaan yang bertanggungjawab.
“Mereka mengundi politik yang rasional dan berhikmah serta menolak penunggang agama, termasuk fatwa politik songsang yang menghalalkan penangguhan Haji dan Umrah demi pilihan raya,” katanya.
Beliau menegaskan, bagi UMNO, masa depan politik negara bukan sahaja menuntut keberanian, bahkan keterbukaan untuk meneroka sebarang kemungkinan demi membentuk kerajaan yang stabil dan sejahtera.
“UMNO mesti berani mengambil risiko dalam lanskap politik yang sangat disruptif ketika ini.
“Kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja, asalkan ia tidak merugikan bangsa Melayu dan Islam, tidak menafikan hak masyarakat majmuk, serta tidak merencatkan cita-cita menjadikan Malaysia negara terbaik,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kemenangan BN di Ayer Kuning bukan sekadar kejayaan politik, malah satu kejayaan moral yang menyuntik semangat baharu kepada UMNO.
“Ini juga satu proses penyucian untuk UMNO, daripada pelbagai kelemahan lalu agar menjadi lebih baik. Tahniah kepada seluruh jentera dan penyokong Barisan Nasional,” ujarnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |