POLITIK

Khairy ditawar jawatan Menteri Besar jika menang dalam PRN

BANGI – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini mengaku ada menerima pelbagai tawaran ‘menarik’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Antara tawaran terbesar yang diterima beliau setakat ini adalah jawatan menjadi Menteri Besar di Selangor sekiranya beliau menang dalam pilihan raya.

Tanpa mendedahkan dari parti mana tawaran itu diterima, Khairy turut mengesahkan hasratnya untuk bertanding.

“Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai peranan,” katanya.

Bagaimanapun kata Khairy keputusan sama ada mahu menyertai parti politik untuk bertanding semula itu perlu diputuskan segera kerana beliau tidak mempunyai banyak masa.

“Jika saya mahu menyertai PRN, saya perlu membuat keputusan dalam beberapa bulan akan datang ke arah mana saya akan pergi.

“Sekiranya saya membuat keputusan untuk tidak bertanding PRN, maka saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk memutuskan platform politik yang saya pilih sebagai babak seterusnya dalam perjalanan politik saya,” ujarnya memetik laporan The Star.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, Khairy tewas di Sungai Buloh apabila Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan melalui calonnya, Datuk R Ramanan dengan majoriti 2,693 undi.

Ketika ditanya kemungkinan menubuhkan parti baharu, Khairy berkata perkara itu tidak mungkin berlaku berdasarkan perkembangan politik negara yang sudah ‘tepu’ ketika ini.

 

“Walaupun ia satu pilihan, tidak mungkin (saya akan tubuh parti baharu),” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button