Keputusan MIC keluar BN belum muktamad
KUALA LUMPUR – Keputusan MIC untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) seperti dilaporkan petang ini masih belum dimuktamadkan apabila Perhimpunan Agung Tahunan parti itu memilih untuk menangguhkan ‘kata putus’ berhubung masa depan mereka dalam gabungan berkenaan.
Dalam sidang perwakilan yang berlangsung hari ini, MIC memutuskan bahawa keputusan sama ada untuk kekal bersama BN atau membawa haluan baharu akan ditentukan oleh Presiden parti, Tan Sri S.A. Vigneswaran, bersama Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Sebelum itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC sebulat suara meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Usul tersebut turut mendapat perhatian dan dibahaskan oleh para perwakilan.
Namun Malaysiakini melaporkan, selepas perbahasan berlangsung, perhimpunan sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada kepimpinan tertinggi parti bagi menentukan hala tuju MIC pada masa akan datang.
Keputusan itu sekaligus menepis spekulasi awal yang mendakwa MIC sudah membuat keputusan muktamad meninggalkan BN, dengan parti itu kini memilih pendekatan berhati-hati sebelum memuktamadkan pendirian mereka dalam landskap politik semasa.
Sementara itu, berita penangguhan keputusan itu turut menarik perhatian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh melalui satu hantaran di Facebooknya.
“Ok sudah tangguh. Kita terus bersama dalam BN dan kekal di blok kerajaan. Kalau nak keluar lagi, jangan lupa beritahu ya. Terima kasih MIC,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






