Politik

Kekal terajui Selangor sehingga akhir penggal – Amirudin

CYBERJAYA – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan beliau akan kekal menerajui Selangor sehingga ke akhir penggal walaupun terdapat pelbagai spekulasi yang menular ketika ini.

Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata, ini adalah bagi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan.

“Saya melihat pelbagai bentuk spekulasi yang menular dua, tiga hari ini. Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) kepada saya dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.

“Saya akan kekal di Selangor hingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media menerusi aplikasi WhatsApp, malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan dakwaan bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR, serta dakwaan bahawa Tengku Zafrul akan menerajui Selangor menggantikan Amirudin yang akan ke Kabinet.

Amirudin berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 sejak Jun 2018. Beliau juga naib presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan Selangor.

Pagi semalam, akaun audio siar Keluar Sekejap di platform X menulis Tengku Zafrul Aziz disebut bakal menggantikan Amirudin sebagai menteri besar.

Memetik sumber, mereka mendakwa Amirudin dijangka bakal dilantik sebagai menteri di persekutuan.

Semalam, media turut melaporkan rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR, memetik sumber dalaman UMNO Selangor.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bagaimanapun memaklumkan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button