Keputusan semak semula RMK-13 telah dibincang, bukan reaksi spontan – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menafikan dakwaan keputusan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dilakukan secara tergesa-gesa susulan kritikan di media sosial terhadap dirinya.
Beliau menegaskan keputusan itu telah melalui perbincangan teliti di peringkat jemaah menteri sejak beberapa minggu lalu dan bukan berdasarkan reaksi spontan terhadap komen awam.
“Sebarang dasar, program atau keputusan perlu dibentangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri. Ia bukan keputusan yang diputuskan secara bersendirian oleh mana-mana kementerian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA), di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu mengarahkan semua kementerian meneliti draf RMK-13 dan mengemukakan maklum balas rasmi kepada Kementerian Ekonomi.
“Arahan itu membawa kepada pelaksanaan satu mesyuarat khas jemaah menteri pada Isnin lalu, bagi meneliti semua cadangan dan pandangan yang dikemukakan kementerian-kementerian.
“Dalam mesyuarat tersebut, kita kenal pasti pelbagai syor dan cadangan yang perlu diteliti dan diselaraskan dalam draf akhir RMK-13,” ujarnya.
Keputusan jemaah menteri pada Rabu menyaksikan pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjalankan peranan Menteri Ekonomi dalam memuktamadkan draf akhir RMK-13 sebelum dibentang di Parlimen.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan kebimbangan terhadap kemungkinan kerajaan bersikap reaktif dalam menyemak semula RMK-13 susulan kritikan di media sosial yang ditujukan kepada Fahmi.
Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk menyelaras semula penyediaan dokumen RMK-13, berkuat kuasa serta-merta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








