
JPP tegas gugur calon Timbalan Ketua AMK Taiping dihimpit isu lompat parti, tajaan calon
TAIPING – Jawatankuasa Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (JPP) tampil tegas apabila mengambil keputusan menggugurkan pencalonan Iwan Schani Ibnu sebagai calon Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Taiping, susulan pendedahan berkait penglibatan beliau dengan parti lain dan dakwaan ditaja oleh seorang calon baharu Ketua Cabang.
Menurut sumber dalaman JPP, keputusan itu dibuat selepas satu siasatan awal mendapati Iwan pernah terlibat dengan beberapa parti politik termasuk Bersatu dan MUDA, selain didakwa bertanding dalam pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027.
“Tindakan menggugurkan calon itu bukan dibuat secara sewenang-wenangnya. Ia berdasarkan maklumat dan bukti yang dikemukakan dalam aduan rasmi. Kita tidak mahu kompromi dalam soal integriti dan kesetiaan kepada parti,” kata sumber itu kepada Malaysia Tribune.
Lebih mengundang perhatian, sumber turut mendedahkan bahawa pencalonan Iwan dipercayai ditaja oleh seorang calon Ketua Cabang yang turut bertanding dalam pemilihan kali ini.
Perkara itu kini sedang diteliti oleh JPP memandangkan ia boleh menjejaskan keluhuran proses pemilihan parti.
“JPP juga sedang meneliti sejauh mana pengaruh dan campur tangan calon Ketua Cabang terbabit dalam mencatur pencalonan di peringkat AMK. Ini satu perkembangan yang serius,” katanya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi calon Ketua Cabang, Khadijah Nordin, turut berada dalam radar pemantauan JPP selepas timbul aduan berkaitan strategi kempen dan sokongan luar parti.

Setakat ini, tiada tindakan diambil namun pemerhatian terhadap kempen beliau dilaporkan sedang berjalan secara rapat.
Sementara itu, beberapa ahli AMK Cabang Taiping menyambut baik tindakan JPP yang disifatkan sebagai tepat dan perlu bagi memastikan pemilihan berlangsung secara adil dan bebas daripada sebarang unsur manipulasi.
“Langkah JPP itu sangat penting untuk menjaga nama baik parti. Kalau tidak, kita akan terus dibayangi oleh budaya lompat parti dan agenda tersembunyi,” kata seorang anggota AMK yang enggan dikenali.
Proses pengundian AMK Cabang Taiping dijangka berlangsung dalam suasana lebih berhati-hati susulan perkembangan terbaharu ini, dengan pemerhatian kini tertumpu kepada sejauh mana JPP mampu mempertahankan ketelusan dan disiplin pemilihan di peringkat akar umbi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |