Jangan terlalu selesa dengan kemenangan PRK Ayer Kuning – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bukan tiket untuk kerajaan berasa selesa.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu perkara itu ketika sidang media di sini, hari ini.
“Ini perkara yang disebut ketika memulakan Mesyuarat Kabinet. Namun PM meminta kerajaan tidak terlalu yakin dan jangan berasa lega dengan keputusan ini.
“Sebaliknya, harus bekerja lebih keras untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Menurut beliau lagi, rakyat bukan sahaja mendambakan kestabilan politik dan ekonomi tetapi juga dalam menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
“Walaupun peratus keluar mengundi kurang, tetapi sokongan pengundi muda dan pengundi Melayu menunjukkan perkembangan positif.
“Daripada 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM), 19 dimenangi oleh BN. Hanya satu dimenangi Perikatan Nasional, itu pun dengan jumlah majoriti berkurangan.
“Pada masa yang sama, kita boleh lihat beberapa PDM iaitu tiga daripadanya, jumlah pengundi BN mendahului PN,” katanya lagi.
Pada PRK Ayer Kuning Sabtu lalu, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir menang besar dengan memperoleh majoriti 5,006 undi.
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, meraih 11,065 undi mengatasi calon PN, Abdul Muhaimin Malek (6,059 undi) manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mendapat 1,106 undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








