
Jangan derhaka, Fadhli perlu jawab siapa ayam betina dan siapa biawak
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari diminta menjelaskan satu hantaran di media sosialnya yang didakwa mempersoalkan kuasa prerogatif pengampunan diraja berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, tindakan Ketua Penerangan PAS itu yang membuat satu hantaran berbentuk sindiran terhadap Yang Dipertuan Agong merupakan satu perbuatan biadab.
“Fadhli membuat satu hantaran di Facebook berbunyi “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.
“Saya ingin bertanya pada Fadhli, apakah maksud hantaran beliau itu? Ia dibuat sejurus selepas Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bertitah berkaitan kuasa prerogatif pengampunan diraja berhubung kes bekas Perdana Menteri itu.
“Fadhli perlu jelaskan siapakah yang beliau maksudkan ‘jantan berkokok nyaring’? Siapa pula ‘ayam betina’? Dan siapa pula ‘biawak’?
“Apa yang sedang berlaku ialah, UMNO membatalkan hasrat berhimpun untuk solidariti Najib Razak selepas titah Agong. Jadi saya ingin tanya Fadhli, adakah ‘biawak’ yang Fadhli sebutkan merujuk kepada ‘YDP Agong’?,” soalnya.
Sheikh Umar berkata, Ahli Parlimen Pasir Mas itu perlu tampil menjernihkan keadaan selepas bertindak membuat hantaran berbentuk sindiran itu.
“Dengan latar isu yang sedang melanda, Fadhli perlu jelaskan hantaran beliau itu. Ia penting untuk menjernihkan keadaan atau, Fadhli akan dipalit dengan gelaran biadab terhadap Agong atas ke’gatal’an tangan beliau di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat turut menempelak Fadhli yang disifatkan sebagai menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong.
“Perdana Menteri nyatakan pengampunan dipertimbangkan oleh Agong. Ketua Polis Negara nyatakan pengampunan kuasa prerogatif Agong. UMNO akur titah Agong.
“Ahmad Fadhli Shaari Ahli Parlimen Pasir Mas, jangan derhaka pada Tuanku,” tegasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar turut menempelak Fadhli yang membuat hantaran berbaur sindiran itu.
“Adakah YB cuba derhaka?,” soalnya yang turut memuat naik hantaran Fadhli dalam laman Facebooknya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |