
Jangan bimbang pengakhiran politik saya – Rafizi sindir Puad Zarkashi
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyelar kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menasihatkannya supaya “jangan terlebih bakar, takut berakhir dalam penjara.”
Rafizi berkata, kenyataan Puad sebagai cubaan untuk meraih perhatian media dan mengungkit sejarah lama, khususnya ketika beliau aktif membawa isu-isu membabitkan kepimpinan terdahulu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Bertahun-tahun dia cuit saya tapi saya tidak pernah balas. Sebahagiannya kerana saya menghormati tata cara bila duduk bersama dalam kerajaan.
“Sebagai pimpinan kanan KEADILAN, saya tidak wajar hentam terbuka seorang wakil rakyat dari UMNO,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi berkata, beliau memahami sekiranya Puad menyimpan rasa tidak senang terhadapnya kerana peranannya yang agresif ketika mengetuai pelbagai pendedahan berkaitan skandal pentadbiran terdahulu.
“Puad dulu Ketua Pengarah JASA yang diberi tanggungjawab mempertahankan Datuk Seri Najib menjelang PRU14.
“Mungkin sebab itu dia letih ‘bersilat’ dengan isu-isu yang saya bawa, dan akhirnya digugurkan sebagai calon Parlimen Batu Pahat,” katanya lagi.
Rafizi turut menempelak kenyataan Puad yang mengaitkannya dengan penjara, dengan menyatakan bahawa sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi, tiada sebarang campur tangan dalam urusan perolehan kerajaan.
“Malah bidang yang memang di bawah kuasa saya seperti kelulusan hartanah Bumiputera melebihi RM20 juta pun saya rujuk kepada jawatankuasa khas.
“Saya tak pernah panggil pegawai atau KSU untuk pengaruh mana-mana keputusan,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, dirinya tidak pernah diugut, dipanggil atau terlibat dalam sebarang siasatan oleh pihak berkuasa.
“Saya pernah lalui zaman penjara sebelum ini. Ketika Puad jadi KP JASA, kerajaan waktu itu heret saya ke mahkamah sampai 14 kes, termasuk dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.
“Saya reda dan serahkan kepada ketentuan Allah,” katanya lagi.
Rafizi turur menasihatkan Puad agar tidak terlalu bimbang dengan masa depan politiknya.
“Lebih baik fikirkan dosa pahala dan amalan sendiri, lebih-lebih lagi kalau umur itu 20 tahun lebih tua daripada saya,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |