
Isu penarikan kes kalimah Allah bukti DAP dominasi kerajaaan – Muhyiddin
KAPAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini didominasi oleh DAP susulan penarikan balik rayuan kes penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri (2018-2020), beliau telah didesak oleh DAP untuk tidak mengemukakan rayuan bagi kes tersebut.
Katanya, beliau tidak rela kalimah Allah itu digunakan oleh orang bukan Islam, sebaliknya beliau menegaskan penggunaan kalimah Allah adalah khusus bagi orang Islam sahaja.
“Waktu saya menjadi Menteri Dalam Negeri dahulu, saya telah maklumkan kepada Tun Dr Mahathir berhubung kes kalimah Allah itu. Walaupun kita kalah (di Mahkamah Tinggi) kita boleh rayu.
“Tetapi rayuan itu belum selesai waktu kerajaan ‘Madanon’ (Madani) ini naik, Anwar Ibrahim membuat keputusan supaya jangan rayu.
“Saudara tahu kenapa perkara itu berlaku? Ya Anwar Ibrahim, tapi disebalik Anwar ada anggota parti-parti DAP yang saya tahu waktu saya jadi menteri pun didesak supaya saya jangan merayu tapi saya buat keputusan supaya rayu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapanya pada Majlis Jelajah Pengerusi PN ke DUN Sementa di sini, malam tadi.
Hadir sama, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; calon Pilihan Raya Negeri (PRN) PN DUN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari serta calon DUN Sementa Noor Najhan Mohd Salleh.
Pada April lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Pada 23 Mei lalu, Anwar Ibrahim berkata tindakan kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah bertujuan untuk mengelak percanggahan dengan ketetapan Majlis Raja-Raja.
Katanya, kerajaan merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka yang telah beri pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu kalimah Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran untuk Sabah serta Sarawak.
Jelasnya, penarikan rayuan tersebut memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik ketetapan kalimah itu selaras pandangan dan nasihat peguam negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






