
Isu ketelusan pemilihan PKR boleh dibangkitkan dalam Mesyuarat MPP Rabu ini – Anwar
PUTRAJAYA – Sebarang kemusykilan terhadap ketelusan keputusan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 boleh dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses pemilihan PKR telah dijalankan dengan baik dan sebarang isu berkaitan wajar dibincangkan di peringkat parti.
“Pemilihan parti dijalankan dengan baik. Kalau ada apa-apa masalah atau musykil, boleh dibangkit dalam mesyuarat khas pada Rabu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan isu berkaitan pemilihan parti adalah urusan dalaman PKR dan tidak melibatkan kerajaan negeri mahupun Persekutuan.
“Ini persoalan parti. Tak ada timbul soal kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan. Saya lihat dari segi prestasi masing-masing, bukan dari segi pencaturan politik,” jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.
Sebelum ini, beberapa calon pada Pemilihan PKR 2025 memaklumkan mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) susulan terdapat pihak yang mempersoalkan ketelusan keputusan serta proses pemilihan terbabit.
Antara calon yang berbuat demikian adalah Naib Presiden PKR yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa apabila tewas kepada pencabarnya, Datuk Afdlin Shauki.
Selain itu, calon lain yang tewas dalam pemilihan itu dan mengambil tindakan sama adalah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Beliau tewas pada pemilihan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Shah Alam, sementara Ahli Parlimen Petaling Jaya yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, pula gagal dalam percubaannya untuk jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya.
Untuk rekod, pemilihan PKR 2025 bagi fasa satu membabitkan peringkat Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dan Wanita Cabang di tujuh negeri berlangsung pada 11 hingga 13 April.
Manakala fasa dua pengundian membabitkan Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah bermula pada 18 April lalu dan berakhir semalam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |