BERITA SEMASAPOLITIK

Hormat titah Agong: KPN ingatkan rakyat jangan sertai perhimpunan haram

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan haram berkaitan isu pengampunan banduan atau pengurangan hukuman.

Beliau menegaskan, pengampunan atau pengurangan hukuman adalah kuasa prerogatif Yang di Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Proses ini perlu melalui Lembaga Pengampunan, bukan menerusi perhimpunan atau saluran yang melanggar undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razarudin turut mengingatkan bahawa perhimpunan haram hanya akan mencetuskan ketidaktenteraman awam dan pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Perbuatan ini seolah-olah tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong. Setiap rakyat perlu mendukung prinsip Rukun Negara, terutama kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menghormati proses perundangan yang sah, termasuk mekanisme pengampunan, demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

“Marilah kita bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan negara dengan mematuhi undang-undang,” katanya lagi.

Pihak polis turut mengingatkan bahawa segala tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam tidak akan dikompromi dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut lunas undang-undang.

UMNO dalam satu kenyataan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi hari ini berkata, parti itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 6 Januari ini.

Katanya, sebagai parti yang konsisten memperjuangkan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Parti, mereka akur dengan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kuasa prerogatif baginda.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button