BERITA SEMASAPOLITIK

Hishammuddin juara ‘ponteng’ Dewan Rakyat; PN dominasi kehadiran sempurna

KUALA LUMPUR – Data kehadiran ahli Parlimen sepanjang 78 hari persidangan Dewan Rakyat tahun ini menunjukkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berada pada kedudukan paling rendah dari segi kehadiran.

Analisis New Straits Times (NST) berdasarkan rekod hansard mendapati bekas Menteri Pertahanan itu tidak hadir sebanyak 69 hari, menjadikan kadar kehadirannya hanya 11.5 peratus, tertinggi dalam kategori ketidakhadiran.

Turut tersenarai ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak menghadiri 65 hari persidangan dengan kadar kehadiran 16.7 peratus, manakala Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencatat 60 hari ketidakhadiran bersamaan 23.1 peratus kehadiran sepanjang tahun ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
shafie apdal
SHAFIE APDAL

Untuk rekod, bagi setiap hari persidangan yang dihadiri, ahli Parlimen menerima elaun RM400 sehari.

NST turut melaporkan daripada jumlah ketidakhadiran Abdul Hadi, 11 hari dimaklumkan secara rasmi di bawah Peraturan Mesyuarat 91, iaitu peruntukan yang mewajibkan ahli Parlimen memaklumkan ketidakhadiran kepada Setiausaha Dewan Rakyat.

Peraturan berkenaan berkait rapat dengan Perkara 52 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengisytiharkan kerusi kosong sekiranya mana-mana ahli tidak hadir ke setiap mesyuarat selama enam bulan tanpa kebenaran.

Sementara itu, barisan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) mengungguli senarai kehadiran sempurna.

Berbeza dengan senarai ketidakhadiran, PN mengetuai kumpulan kehadiran penuh dengan 26 ahli Parlimennya hadir pada semua hari persidangan.

Ia diikuti 17 ahli Parlimen dari Kerajaan Perpaduan, dua daripada blok pembangkang dan seorang wakil MUDA.

Antara wakil rakyat yang konsisten hadir dan aktif berbahas termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera); Young Syefura Othman (Bentong); Teresa Kok (Seputeh), Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin); Datuk Dr Alias Razak (Kuala Nerus) dan Dr Siti Mastura Muhammad (Kepala Batas).

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button