
PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memutuskan tidak akan bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu memberi ruang kepada pemimpin muda untuk menerajui parti, lapor Sinar Online.
Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor dari 2014 hingga 2019 itu berkata, keputusan tersebut meliputi semua peringkat, termasuk jawatan di cabang dan kepimpinan tertinggi.
Hassan dalam masa yang sama turut yakin pemilihan kali ini tidak akan menjejaskan perpaduan dalam parti, malah membuktikan PKR sentiasa bersedia berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya sudah berkhidmat dan kini masa saya sudah berlalu. Saya mahu generasi muda mengambil alih kepimpinan parti.
“Saya juga tidak bertanding atas faktor usia kerana kini berumur 74 tahun. Saya menyeru pemimpin veteran lain supaya memberi laluan kepada pelapis baharu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau masalah sampah dan longkang tersumbat di Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.
PKR sebelum ini menetapkan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) akan berlangsung pada 24 Mei.
Sementara itu, pemilihan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang akan diadakan dari 11 hingga 20 April.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |