POLITIK

Hannah Yeoh disaran maafkan Razman, tidak perlu saman

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mencadangkan agar Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak meneruskan tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria susulan kenyataan tidak tepat yang mendakwa Hannah adalah anak tokoh korporat YTL.

Lee berkata, meskipun beliau menghormati hak Hannah untuk mempertahankan dirinya, tindakan saman mungkin tidak perlu memandangkan Razman telah memohon maaf secara terbuka dan mengakui kesilapannya.

“Razman telah meminta maaf secara terbuka dan mengakui kenyataan itu tidak disengajakan.

“Saya rasa ini peluang untuk Hannah menunjukkan sikap saling memaafkan, sesuai dengan nilai Madani dan semangat Tahun Baru Cina,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Lee, insiden seperti itu mencerminkan kekurangan kefahaman terhadap budaya kaum lain yang boleh membawa kepada salah faham dan polemik tidak sihat.

“Kita perlu akui, ada segelintir masyarakat yang jarang bergaul atau memahami budaya lain.

“Ini tidak terhad kepada mana-mana kaum sahaja, tetapi melibatkan semua Cina, Melayu, India, Dayak dan Kadazan,” katanya lagi.

Lee juga menasihatkan Razman agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan dan memastikan fakta disemak dengan teliti sebelum disampaikan kepada umum.

“Sebagai pemimpin politik, beliau harus sedar tanggungjawabnya untuk menjaga sensitiviti dan keharmonian masyarakat. Ini bukan kali pertama pemimpin PAS membuat tuduhan yang tidak berasas,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Lee menyeru Hannah untuk memanfaatkan kesempatan ini bagi memperkukuh perpaduan dengan memaafkan Razman, seiring dengan prinsip Madani yang menggalakkan pembinaan hubungan yang harmoni.

“Ini masa terbaik untuk menunjukkan nilai mulia kita sebagai rakyat Malaysia Madani mengajak kita membina jambatan, bukan membakarnya,” katanya lagi.

Razman sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan Hannah dengan syarikat korporat YTL, satu dakwaan yang kemudiannya disahkan tidak berasas.

Bagaimanapun, Razman telah membuat permohonan maaf secara terbuka bagi meredakan keadaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button