Hajiji beri restu dua pemimpin GRS bertanding atas tiket PKR – George Hiew
KOTA KINABALU – Dua pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat ‘restu’ daripada Pengerusi gabungan politik itu, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk bertanding sebagai calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Datuk George Hiew, beliau akan bertanding mempertahankan kerusi itu susulan konsensus daripada hasil perbincangan GRS-Pakatan Harapan (PH), lapor HM Online.
“Saya bertemu Hajiji, dua hari lalu, dan beliau memberikan sokongan kepada calon-calon PKR.
“Kerusi ini adalah kuota daripada PKR yang menyatakan ia milik mereka,” katanya.
George berkata demikian kepada pemberita selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan calon parti itu yang bakal bertanding pada PRN17 Sabah, di sini malam tadi.
Seorang lagi ahli GRS, Datuk Jamawi Jaafar, menafikan beliau adalah calon ‘payung terjun’ untuk kerusi DUN Melalap.
Bekas Ahli DUN (ADUN) Kemabong itu berkata, pemilihannya sebagai calon telah mendapat sokongan Ketua PKR Bahagian Melalap dan pemimpin lain.
“Berhubung keahlian saya pula, Setiausaha Agung parti akan menguruskan perkara itu,” katanya lagi.
Sementara itu, calon PKR untuk kerusi DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa, 48, berkata ketua bahagian berpandangan jauh bagi memastikan parti membina masa depan lebih baik untuk kawasan berkenaan.
“Kita hanya boleh maju jika bekerjasama. Saya berasa amat berbesar hati,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Sipitang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






