
‘Dulu Tun yang ajar buat semua ini’ – Isham
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mengingatkan apa yang berlaku kepada kerajaan pada masa ini adalah hasil ‘tunjuk ajar’ Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO, beliau menyalahkan perbuatan bekas perdana menteri itu ketika berkuasa dahulu.
Katanya, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab atas apa dilakukannya sebelum ini, sekali gus berpesan agar semua pihak tidak mengikut apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir.
“Dulu, Tun (Dr Mahathir) yang buat dan ajar buat semua ini. Sampai ada orang kena tumbuk dalam penjara dan ada pula yang rumah dia kena geledah dan pecah atap, sebelum mereka disumbat ke dalam penjara.
“Mungkin inilah kifarah dan karma yang Tun kena bayar. Kita perlu ubah semua ini. Generasi akan datang tidak boleh ikut apa yang Tun buat dulu.
“Cuma Tun perlu bayar kifarah juga di dunia ini dan di akhirat kelak nanti,” katanya melalui satu hantaran di Facebook milik beliau, hari ini.
Isham berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa ramai orang kenamaan Melayu didapati berada dalam ketakutan dan berpendapat kerajaan sekarang tidak baik.
Dakwa Dr Mahathir, golongan itu enggan menyertai sebarang gerakan yang mempunyai pendapat sama dengan mereka, kerana takut tindakan akan diambil jika mereka dikenal pasti.
Katanya, ada yang takut jawatan mereka ditukar kepada yang lebih rendah atau dilucut terus; kontrak ditarik balik atau diganggu; disiasat mahupun ditahan polis.
Malah, Dr Mahathir mendakwa bahawa Perdana Menteri mengugut untuk mendedahkan kertas siasatan polis terhadap beberapa menteri UMNO yang lama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






