
DAPSY sambut baik reformasi lantikan hakim, seru pengasingan kuasa Peguam Negara
KUALA LUMPUR – DAP Socialist Youth (DAPSY) menyambut baik langkah reformasi proses pelantikan hakim yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha menjunjung prinsip kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.
Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Lim Chun Weng berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Madani menunjukkan kesungguhan untuk memastikan institusi kehakiman negara kekal bebas daripada sebarang pengaruh politik atau campur tangan luar.
“Kami percaya reformasi ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman.
“Hakim harus bebas membuat keputusan berdasarkan undang-undang tanpa sebarang tekanan politik mahupun dari pihak eksekutif dan legislatif,” katanya menerusi kenyataan bersama yang turut disokong Pengarah Biro Dasar Awam DAPSY, Jason Ng Thien Yeong, di sini hari ini.
Menurutnya, usaha reformasi itu juga penting dalam mengikis persepsi negatif rakyat terhadap badan kehakiman dan memulihkan semula keyakinan terhadap sistem perundangan negara.
“Kebebasan kehakiman yang terjamin akan memberi keyakinan kepada pelabur dalam dan luar negara untuk terus melabur di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.
Dalam kenyataan itu juga, DAPSY turut mengimbas kembali krisis kehakiman 1988 yang dianggap sebagai titik hitam dalam sejarah negara, apabila Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas dipecat dan lima hakim Mahkamah Agung digantung.
“Kejadian itu telah meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman.
“Kini, dengan kepimpinan seorang reformis, kita diberi peluang untuk membetulkan kesilapan lampau dan menuju ke arah sistem yang lebih telus dan adil,” jelas kenyataan itu.
Pada masa sama, DAPSY turut menggesa agar Kerajaan Perpaduan mempercepatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengasingkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Langkah itu penting sebagai sebahagian daripada penanda aras reformasi institusi yang lebih menyeluruh dalam penggal ini,” katanya.
DAPSY turut mengakui beberapa reformasi lain yang telah dilaksanakan termasuk penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan isu kewarganegaraan anak lahir di luar negara, pindaan Akta Perhimpunan Aman serta komitmen mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
“Semua ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani serius dalam melaksanakan reformasi institusi dan perundangan.
“Kami berharap usaha itu diteruskan demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih adil, progresif dan demokratik,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |