BERITA SEMASAPOLITIK

DAPSY Melaka gesa putuskan kerjasama politik dengan Akmal Saleh

MELAKA – DAPSY Melaka hari ini menggesa pucuk pimpinan DAP dan DAPSY Kebangsaan supaya segera memutuskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.

DAPSY Melaka berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memperbesarkan isu kesilapan kecil membabitkan Jalur Gemilang sebagai percubaan menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat.

“DAPSY Melaka tetap menegaskan bahawa isu Jalur Gemilang tidak wajar dijadikan modal politik murahan. Tindakan Akmal Saleh yang menggunakan kesilapan kecil untuk menyerang rakyat jelata jelas satu percubaan menyemai kebencian dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut membandingkan insiden itu dengan tindakan Pemuda UMNO Terengganu yang sebelum ini menyiarkan grafik Jalur Gemilang yang salah.

“Jika Akmal benar-benar mahu berlaku dengan adil, beliau sepatutnya menghentam keras kesilapan paritnya dengan protes dan perhimpunan, bukan sahaja memohon maaf. Kalau tidak, adakah kami perlu mengajar Pemuda UMNO cara melukis bendera di hadapan khalayak?” soal kenyataan itu lagi.

Menurut DAPSY Melaka, tindakan Akmal yang mendesak hukuman segera atas nama patriotisme hakikatnya menakut-nakutkan rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang, dan ia tidak membantu memperkukuh keharmonian negara.

DAPSY Melaka mengingatkan peranan seorang ADUN dan pemuda politik ialah membina negara, memperkukuh dasar kerajaan serta menyemai semangat perpaduan rakyat.

Selain itu, DAPSY Melaka menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan bahawa budaya menghina, menghasut dan melampaui batas perlu dihentikan segera.

“Mana-mana ahli politik yang menanam kebencian kaum atau agama tidak wajar diberi ruang dalam kerangka politik matang,” tegas kenyataan tersebut.

Justeru, DAPSY Melaka menegaskan bahawa tiada lagi alasan untuk meneruskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Akmal Saleh dan mahu pimpinan DAP mengambil pendirian tegas dalam perkara ini.

Baca juga : Akmal Saleh, Hilman akan didakwa dalam kes gugat ketenteraman awam

Semalam, Akmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadap Akmal Saleh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang didakwa berpotensi mengganggu ketenteraman awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button