
‘Cari jalan, bukannya minta rakyat henti minta bantuan’ – Mahdzir
ALOR SETAR – Kerajaan Kedah disaran mencari jalan untuk menjana pendapatan baharu bagi membolehkannya menyalurkan bantuan dan membela nasib rakyat miskin di negeri itu.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu melaksanakan tanggungjawab membantu golongan miskin dan bukannya meminta mereka berhenti meminta bantuan daripada kerajaan PAS negeri.
Kata Mahdzir, sebagai seorang menteri besar yang dipilih oleh rakyat Kedah, Sanusi seharusnya memikul tanggungjawab membantu rakyat miskin di negeri itu dan bukannya mengeluarkan kenyataan supaya rakyat miskin jangan jadikan meminta bantuan daripada kerajaan Pas sebagai budaya hidup.
“Itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada golongan miskin dan sudah tentu ia amat mengecewakan rakyat apabila seorang menteri besar meminta rakyat jangan lagi bergantung harap dengan meminta bantuan daripada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mahdzir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Sanusi di Tiktok baru-baru ini yang meminta rakyat miskin di Kedah berhenti menjadikan budaya meminta bantuan daripada kerajaan dan wakil rakyat PAS seperti bantuan membaiki dinding dan bumbung rumah.
Mahdzir kemudiannya menambah, rakyat Kedah yang memilih dan mengundi pimpinan PAS untuk menerajui negeri itu sudah tentu mengharapkan kepimpinan memainkan peranan yang berkesan dalam membantu rakyat miskin yang memerlukan bantuan.
“Mengapa pimpinan Pas ketika berkempen dalam pilihan raya tidak menyebut perkara itu dengan meminta rakyat jangan meminta bantuan daripada wakil rakyat kalau mereka menang?
“Kenapa sekarang apabila menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihan raya, kerajaan negeri meminta rakyat miskin jangan lagi minta bantuan daripada wakil rakyat Pas? Adakah itu membawa maksud pimpinan kerajaan negeri mahu melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap rakyat?” katanya lagi.
Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, kerajaan negeri perlu merangka strategi khusus bagi mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan kemiskinan di Kedah.
“Kalau di zaman UMNO dan BN (Barisan Nasional) memerintah dahulu, kita memang meletakkan agenda membasmi kemiskinan rakyat itu sebagai agenda utama yang perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukannya secara ‘one off’.
“Kita pun tak pernah sebut supaya rakyat jangan minta bantuan daripada kerajaan UMNO dan BN ketika kita memerintah,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |