
Calon PSM guna traktor untuk penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning
TAPAH – Pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini mengundang perhatian apabila penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) hadir dengan sebuah traktor sebagai simbol kempen untuk calon mereka.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan PSM di laman rasmi Facebook mereka, jentera itu digunakan sebagai bahan kempen untuk membawa Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS.
Difahamkan, penyokong PSM menggunakan kawasan Taman Malaysia Tapah berdekatan Dewan Terbuka Arena Merdeka sebagai tempat berkumpul sebelum mengiringi calon ke pusat penamaan.
Terdahulu, Pusat penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka, Tapah telah dibuka pada pukul 9 pagi tadi.
Proses penamaan calon berlangsung selama satu jam hingga pukul 10 pagi, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori mengumumkan calon-calon yang layak bertanding.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, akibat serangan jantung selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Februari lepas.
Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |