
Calon BN umum tujuh ikrar, janji fokus ekonomi dan kebajikan rakyat
TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir mengumumkan tujuh ikrar utama dalam manifestonya yang menekankan usaha memajukan ekonomi tempatan selain menjaga kebajikan rakyat.
Beliau berkata, antara perkara utama yang diberikan perhatian adalah peningkatan taraf hidup penduduk, pembangunan infrastruktur, pemerkasaan agenda belia, pengukuhan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penambahbaikan perkhidmatan awam yang berpaksikan rakyat.
“Kita juga akan memastikan kesejahteraan warga emas, wanita dan komuniti Orang Asli terus terpelihara. Pendidikan berkualiti untuk anak-anak Ayer Kuning turut menjadi keutamaan dalam perancangan saya,” katanya ketika mengumumkan manifestonya di Pusat Komando BN, di sini semalam.
Yusri berkata, ikrar untuk memakmurkan ekonomi tempatan akan dilaksana melalui pemberian geran khas kepada usahawan kecil, petani, pekebun kecil dan peniaga pasar malam.
Beliau turut merancang memperluas akses pasaran hasil pertanian dan produk desa serta memperkukuh semangat keusahawanan melalui program bimbingan serta e-dagang.
“Bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, saya akan memperluaskan lagi program Kedai Bergerak dan Jualan Rahmah di kawasan itu.
“Peniaga kecil tempatan juga akan diberi peluang untuk terlibat dalam program kebajikan komuniti agar manfaat dapat dirasai secara menyeluruh,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, pendidikan merupakan salah satu tonggak penting dalam manifesto beliau termasuk menaik taraf kemudahan prasekolah, sekolah rendah dan menengah.
“Saya juga akan memperkenalkan program sokongan pendidikan dan kelas motivasi untuk membantu prestasi akademik pelajar,” katanya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi itu dan dijangka menjadi tumpuan kerana bakal menguji kekuatan BN dalam mempertahankan pengaruhnya di kawasan majoriti Melayu di negeri Perak.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |