
Cadangan PN tidak relevan, pengusaha ladang babi di Ayer Kuning ikut SOP – Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Pengusaha kandang babi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak, telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Justeru itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, cadangan Perikatan Nasional (PN) berhubung penambahbaikan isu ladang babi tersebut sama sekali tidak relevan.
“Kawasan kandang babi itu tempat lama dan mereka (pengusaha) pun sudah mendapat lesen sejak sekian lama,” katanya sambil menambah tiada penambahbaikan dilakukan semasa wakil PN menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pewira, Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad mendakwa ada 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah berkenaan, dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana terdapat ladang haram.
Mengulas mengenai peluang calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap pengundi pelbagai kaum dapat memberikan sokongan kepada calon berkenaan.
“Saya sendiri akan berada di Ayer Kuning esok dari pagi hingga malam, kita akan berusaha sedaya upaya dan sekuat mungkin untuk menentukan pengekalan kerusi itu di tangan BN,” ujarnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |