
Bung Moktar tempelak PBS, tegaskan BN Sabah tidak pernah tawar kerjasama
KUALA LUMPUR – UMNO Sabah menegaskan tidak pernah menawarkan atau menjemput PBS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemangku Presiden PBS, Dr Joachim Gunsalam itu hanya sebagai sandiwara politik.
“BN Sabah tidak pernah, pada bila-bila masa pun, menghulurkan jemputan kepada PBS untuk kembali atau bekerjasama.
“Jadi, persoalannya apa sebenarnya yang anda tolak, Joachim? Ini nampaknya satu lagi episod khayalan politik, di mana seseorang membayangkan perbualan dan rundingan yang sebenarnya tidak pernah berlaku.
“Anda tidak boleh menolak sesuatu yang tidak pernah ditawarkan. Tolonglah, jangan perasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Bung Moktar turut menempelak PBS yang disifatkan tidak lagi relevan.
“Dahulu disanjung sebagai pembela hak-hak Sabah, PBS kini hanyalah bayangan pudar dirinya yang dahulu. Identiti politiknya telah terhakis akibat tidak konsistenan selama bertahun-tahun, melompat daripada satu gabungan ke satu lagi, bertukar kesetiaan dan mengkhianati rakan apabila menguntungkan.
“Kini, demi kekal relevan, PBS cuba menggambarkan dirinya sebagai pemain utama yang sedang dipujuk oleh BN.
“Hakikatnya, PBS sudah menjadi tidak signifikan secara politik. Ia bukan lagi peneraju dalam arena politik Sabah hanya penumpang yang menumpang pada kekuatan parti-parti lain dalam kerajaan GRS,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan BN Sabah tidak akan mencari kerjasama dengan parti-parti yang tiada haluan politik yang jelas atau kredibiliti.
Tegasnya, fokus BN Sabah adalah membina semula negeri itu bersama rakan kongsi yang ikhlas dan berprinsip, bukan dengan parti yang hidup atas kenangan lalu dan putaran cerita.
“Hentikanlah drama politik ini. Kepada Joachim dan PBS, cukuplah dengan sandiwara ini. Ini bukan tahun 1990-an. Pengundi hari ini celik maklumat dan bijak menilai. Tidak perlu mereka-reka cerita menolak BN sedangkan tiada sebarang pelawaan pernah dibuat.
“BN Sabah tidak pernah menjemput PBS kembali. Maka, tiada apa-apa yang perlu ditolak. Marilah kita bergerak ke hadapan dengan kematangan dan tinggalkan khayalan politik di tempat asalnya dalam imaginasi anda,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






