Persiapan BN hadapi PRN Sabah berjalan lancar – Zambry
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) kini berada dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan bulan ini.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, segala persiapan di peringkat parti telah disusun dengan rapi dan hanya menunggu masa untuk mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding.
“Di peringkat Barisan Nasional, saya boleh nyatakan bahawa persiapan sudah pun selesai. Kita hanya menunggu masa untuk mengumumkan nama-nama calon. Perbincangan juga telah diadakan di semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melakukan tinjauan persiapan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) yang bakal diadakan esok hingga 8 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kesiapsiagaan BN menghadapi PRN Sabah yang bakal diadakan pada 29 November ini selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada 6 Oktober lalu.
Terdahulu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini dilaporkan berkata, BN Sabah mungkin akan mengurangkan jumlah kerusi yang mahu ditandingi, berbanding sasaran awal sebanyak 48 kerusi.
Zambry menambah, rundingan bersama pimpinan BN Sabah turut dilaksanakan dengan mengambil kira autonomi yang dimiliki negeri berkenaan.
“Kita menghormati autonomi Sabah dan segala perbincangan dilakukan secara bersama dengan kepimpinan di sana. Secara keseluruhannya, BN sudah mengenal pasti calon-calon yang akan diketengahkan apabila tiba masanya,” jelasnya.
Tambah beliau, BN komited memastikan segala persiapan termasuk penentuan calon dilakukan secara tersusun bagi memastikan jentera parti bersedia sepenuhnya apabila PRN diumumkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






