
Bersih namakan Ismail Sabri PM terbaik sejak 2009
KUALA LUMPUR – Badan pemantau pilihan raya, Bersih menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri terbaik, sejak 2009.
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz berkata, ini kerana dibawah pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga November 2022, Ismail Sabri telah berjaya melaksanakan pelbagai reformasi dalam kerajaan, lapor portal Scoop.my.
Antaranya, meluluskan undang-undang antilompat, menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun serta memberikan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang, melalui memorandum persefahaman.
Bersih menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad di kedudukan kedua, diikuti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, pentadbiran Madani dinilai dengan gred ‘D’ bagi prestasi sepanjang dua tahun ini, dan Bersih mengaitkannya dengan kemajuan terhad kerajaan dalam melaksanakan reformasi.
“Ketiadaan reformasi yang ketara di bawah pentadbiran Anwar adalah sesuatu membingungkan memandangkan kerajaan perpaduan mendapat sokongan yang kuat di Parlimen.
“Dengan kawalan yang begitu kukuh dan tiada ancaman yang akan berlaku kepada jawatan Perdana Menterinya, terdapat sedikit justifikasi untuk mengabaikan perkara yang mudah atau gagal mengambil langkah awal ke arah reformasi yang ketara,” kata Faisal ketika membentangkan ‘kad laporan’ kumpulan pemantau itu mengenai prestasi kerajaan, semalam.
Bersih juga berkata, pentadbiran terdahulu dengan majoriti Parlimen yang lebih lemah, seperti di bawah pentadbiran Ismail Sabri dan Dr Mahathir, kelihatan lebih berjaya dalam melaksanakan reformasi.
Ia menyimpulkan bahawa perbezaan ini menunjukkan isunya bukan terletak kepada sokongan di Parlimen, tetapi iltizam politik.
Faisal bagaimanapun mengakui kesudian Anwar mengadakan libat urus dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat, sambil menambah Ahli Parlimen Tambun itu adalah Perdana Menteri pertama yang berhubung dengan Bersih.
Walaupun Anwar digesa menunaikan janji reformasi sembilan bulan lalu, Bersih berkata tidak ada desakan untuk mengejar reformasi pilihan raya, institusi, dan kebebasan sivil yang besar.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |