
Bersatu Balik Pulau tak puas hati pemilihan bahagian
BALIK PULAU – Ketua Bahagian Penaja BERSATU Balik Pulau, Mohd Nazmin Ramlee, mendakwa berlaku penipuan dalam beberapa persidangan cawangan parti itu sehingga mencetuskan kontroversi berhubung pemilihan kepimpinan bahagian.
Nazmin berkata, Ketua Penerangan Pemuda BERSATU, Harris Idaham Rashid, bersama bekas Setiausaha Bahagian, Rosmady Md Abu, didakwa mengadakan tujuh persidangan cawangan tanpa kebenarannya.
“Mereka menghantar laporan palsu dan memalsukan tandatangan saya sebagai Ketua Bahagian Penaja,” katanya memetik laporan FMT hari ini.
Menurut Nazmin, pihaknya telah membuat aduan kepada pimpinan pusat, menyebabkan Setiausaha Agung ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengarahkan tujuh cawangan terbabit – Bayan Lepas, Ginting, Jalan Bharu, Sungai Kongsi, Sungai Pinang, Sungai Rusa, dan Teluk Bahang – untuk bersidang semula pada 7 November lalu.
Namun, beliau mendakwa pada 12 Disember, Setiausaha Kerja Pusat, Muhammad Suhaimi Yahya, mengeluarkan senarai perwakilan menggunakan laporan persidangan cawangan yang didakwa dipalsukan oleh Rosmady dan Harris.
“Saya menegaskan penipuan ini melanggar Perlembagaan Bersatu dan boleh menjejaskan imej parti,” katanya.
Pemilihan Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau bagi sesi 2024-2027 telah diadakan pada 14 Disember lalu.
Pada pemilihan itu, Harris muncul sebagai pemenang dengan 45 undi, mengalahkan pencabarnya, Adun Teluk Bahang, Muhamad Kasim, yang tidak memperoleh sebarang undian.
Mengulas dakwaan Nazmin, Harris menegaskan persidangan cawangan dan bahagian telah diadakan mengikut peraturan serta mendapat pengesahan pusat.
“Persidangan bahagian diadakan berdasarkan arahan Setiausaha Agung terdahulu, Hamzah Zainudin, dan dihadiri 46 perwakilan, melebihi korum minimum yang ditetapkan,” katanya.
Harris berkata, Setiausaha Kerja Pusat juga telah memberi maklum balas terhadap bantahan yang dibuat, dengan keputusan bahawa persidangan tersebut sah dan senarai perwakilan tidak akan diubah.
“Keputusan ini muktamad dan dibuat berdasarkan Perlembagaan BERSATU,” katanya.
Harris turut menyeru semua pihak untuk menerima keputusan tersebut demi menjaga perpaduan dan integriti parti.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |