BERITA SEMASAPOLITIK

Beri PM ruang untuk isi kekosongan Kabinet – Ramanan

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menggunakan budi bicara dan prerogatif beliau dalam membuat keputusan berkaitan pelantikan menteri Kabinet.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, Perdana Menteri wajar diberikan kepercayaan dan tidak ditekan untuk segera mengisi dua kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan susulan pemilihan parti baru-baru ini.

“Pelantikan menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri dan beliau akan membuat keputusan mengikut masa yang sesuai. Kita beri ruang dan jangan beri tekanan.

“Apabila beliau merasakan masa telah tiba, pasti keputusan akan diumumkan,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.

Terdahulu, dua pemimpin PKR iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, meletak jawatan selepas tewas dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, hujung bulan lalu.

Namun Anwar menyatakan tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini, meskipun wujud desakan sesetengah pihak agar penyusunan semula dilakukan, khususnya selepas tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, keluar daripada UMNO untuk menyertai PKR.

Ramanan berkata, sebarang perubahan Kabinet tidak akan menjejaskan komitmennya dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat, khususnya komuniti India.

“Soal saya kekal sebagai timbalan menteri atau tidak bukan keutamaan. Selagi saya berada dalam politik, saya akan terus berjuang untuk komuniti India yang masih ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Kita sudah lihat keberkesanan pelbagai inisiatif untuk masyarakat India dan saya percaya sesiapa sahaja yang membatalkan program itu, akan menerima kecaman,” katanya lagi.

Sementara itu, ditanya mengenai hasrat Tengku Zafrul untuk menyertai PKR, Ramanan menjelaskan perkara itu akan diteliti oleh pucuk pimpinan parti.

“Setiap permohonan keahlian akan melalui proses yang ditetapkan, termasuk tapisan oleh Majlis Pimpinan Pusat.

“Mana-mana individu, tidak kira latar belakang, boleh menyumbang kepada kekuatan parti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button