
Azzin Izzad tekad pimpin AMK Padang Besar, mahu bawa perubahan radikal
PADANG BESAR – Bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar, Azzin Izzad Bahanudin menyatakan kesediaannya untuk kembali memimpin perjuangan anak muda apabila menawarkan diri sebagai calon Ketua AMK Padang Besar dalam Pemilihan KEADILAN 2025.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengalaman beberapa penggal dalam pentadbiran AMK dan Cabang di Kangar serta penglibatan langsung dalam gerak kerja Pilihan Raya Umum Parlimen Kangar.
“Inilah masa terbaik untuk saya pulang ke medan asal perjuangan. Saya kembali ke tanah tumpah darah saya, tempat darah perjuangan mula mengalir.
“Kali ini, saya mahu tumpahkan seluruh tenaga, keringat dan jiwa raga untuk membina masa depan AMK Padang Besar yang lebih perkasa.
“Sudah tiba waktunya untuk kita bangkit. Bukan sekadar perubahan biasa, tetapi perubahan yang radikal dan menyeluruh,” katanya kepada MT di sini hari ini.
Azzin berkata, segala pengalaman yang dikumpulkan selama ini akan dibawa ke Padang Besar untuk memperkukuh struktur akar umbi, membentuk pasukan yang mantap serta menyusun strategi lebih berkesan dalam memperkasakan gerakan anak muda KEADILAN.
Tambahnya, pasukannya kini sudah bersedia sepenuhnya selepas jawatan Naib Ketua dan 10 Ahli Jawatankuasa (AJK) AMK Padang Besar dimenangi tanpa bertanding.
“Ramai tertanya-tanya kenapa tumpuan kempen hanya diberikan kepada jawatan Ketua dan Timbalan Ketua.
“Jawapannya, barisan lain dalam pasukan kami telah pun menang tanpa bertanding. Ini menunjukkan pasukan kami sudah lengkap dan pihak lawan belum bersedia,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru seluruh ahli AMK Padang Besar agar bersama-sama menjulang panji perjuangan demi memartabatkan semula sayap pemuda parti di kawasan itu.
“Saya yakin dan percaya, jika kita bergerak seiring dan sekata, AMK Padang Besar akan kembali menjadi kekuatan utama KEADILAN di Perlis. Ayuh, kita bangkit sekarang!” katanya lagi.
Pemilihan KEADILAN 2025 dilihat sebagai medan penting untuk mencorakkan hala tuju kepimpinan muda dalam menghadapi cabaran politik semasa dan akan datang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |