POLITIK

Armizan sahkan tidak bertanding PRN Sabah

PAPAR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Beliau berkata, peranannya sebagai menteri di peringkat Persekutuan dan Ahli Parlimen Papar, menjadikan masanya terhad, lapor BERNAMA.

“Saya baru dua tahun lebih jadi Ahli Parlimen dan biar saya tunaikan apa dimahukan rakyat di Papar. Kita banyak pemimpin hebat di Papar dan apa saya mahu, siapa yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat bekerjasama baik dengan saya untuk membangunkan Papar.

“Selaku menteri saya juga kena jaga negeri-negeri lain. Saya mahu pasukan kuat, ADUN (di kawasan Parlimen Papar) yang sentiasa boleh bekerjasama rapat dengan saya, agar kita mampu buat perubahan dan merealisasikan apa dimahukan rakyat,” katanya.

Armizan berkata demikian ketika merasmikan Majestic Ballroom di 10 Star Cinemas, Parklane City Benoni Papar, di sini hari ini.

Sementara itu, Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, gabungan berkenaan sudah lama bersedia untuk menghadapi PRN Sabah.

“Di Papar, kita sudah banyak melakukan pelbagai program bersama rakyat dan saya lihat ADUN-ADUN yang tinggal di sini selalu bersama rakyat. Oleh itu saya yakin mereka boleh menang dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Parlimen Papar mempunyai tiga kerusi DUN iaitu Limbahau, Kawang dan Pantai Manis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button