Anwar jawab isu nepotisme dalam PKR
JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan isu nepotisme yang dikaitkan dengan pucuk pimpinan parti ketika menggulung Kongres Nasional parti itu, di sini hari ini.
Kata Anwar, dakwaan sedemikian tidak wajar kerana PKR mula bertapak ketika beliau berada di penjara dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil tempatnya selaku peneraju parti.
“Bagi pihak Azizah yang pegang benteng (pimpinan PKR) ini agak lama, saya ucapkan terima kasih. Orang bangkitkan isu isteri, anak waktu kita bertempur dulu.
“Ketika itu PKR tiada kongres, tiada perbincangan panjang. Siapa hendak pegang obor pada waktu itu, saya lepaskan begitu sahaja, kerana saya masuk penjara.
“Waktu itu tiada dana parti, tiada jentera parti. Waktu itu tidak timbul keluarga dan nepotisme,” katanya.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, dalam situasi getir ketika itu, Wan Azizah memikul tanggungjawab memimpin parti dalam serba kekurangan, manakala Nurul Izzah terpaksa meninggalkan pengajian universiti untuk membantu perjuangan secara aktif.
“Siapa yang pegang obor? Ketika itu Azizah pegang, dan Izzah pula dalam keadaan terpaksa tinggalkan universiti dan menggeledah ke sana sini sebagai seorang dewasa.
“Ya, Azizah saya pilih pada masa itu. Saya terpaksa buat keputusan segera ketika itu, namun Nurul Izzah (menang jawatan timbalan presiden PKR) semalam, saudara-saudari yang pilih,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








