BERITA SEMASAPOLITIK

Pemikiran lapuk pemimpin sendiri jadi ancaman terbesar orang Melayu – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Ancaman sebenar terhadap kemajuan bangsa Melayu bukan datang daripada luar, tetapi berpunca daripada pemikiran usang segelintir pemimpin Melayu sendiri, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden UMNO itu berkata, sekiranya orang Melayu mahu bangkit dan maju sebagai bangsa yang dihormati serta disegani, maka politik berasaskan emosi dan sentimen semata-mata mesti dihentikan segera.

“Kalau kita ingin memajukan orang Melayu, kita perlu berhenti bermain politik yang berasaskan emosi semata-mata.

“Semua ini menjerumuskan bangsa Melayu ke lembah kelemahan dan kemunduran,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga : Khaled sindir PAS tak boleh ‘move on’ selepas berpisah dengan DAP

Tambah Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan, dalam era persaingan teknologi, ekonomi digital dan ilmu pengetahuan masa ini, politik yang dibina atas sentimen tidak lagi relevan.

Sebaliknya, katanya, bangsa Melayu mesti tampil dengan daya saing yang tinggi, menguasai ilmu dan kemahiran, serta berpandukan nilai-nilai terbaik dalam politik dan pentadbiran.

“Orang Melayu mesti mempunyai kebolehsaingan, ilmu dan kemahiran yang unggul. Hanya dengan cara ini kita berupaya menjadi bangsa yang besar dan hebat, serta dihormati dan disegani,” katanya lagi.

Beliau turut memberi jaminan bahawa hak dan kepentingan orang Melayu tidak akan terjejas kerana ia telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan terus dilindungi oleh institusi Raja-Raja Melayu yang bijaksana.

Namun begitu, Khaled mengingatkan ketakutan berlebihan terhadap perubahan sering dimanipulasi oleh segelintir pemimpin yang mahu terus berkuasa melalui pendekatan politik lama.

“Ancaman terbesar bangsa kita sebenarnya adalah pemikiran tua, mundur dan lapuk segelintir pemimpin Melayu yang tidak sedar bahawa Generasi X, Y, Z dan Alpha telah muncul. Mereka ini tidak dengan mudah terpedaya dengan politik emosi,” jelas beliau.

Dalam hal ini, beliau menyeru semua pihak, terutamanya anak muda Melayu, untuk tampil sebagai generasi pembaharuan dan tidak terus-menerus dijadikan alat oleh permainan politik sempit.

Ujar Khaled, keyakinan bahawa masa depan orang Melayu bergantung kepada kesediaan untuk berani berubah, meninggalkan politik sentimen dan memacu ke arah politik berasaskan nilai, idea dan visi masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button